Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Pengguna khususnya kenderaan ringan di laluan FT2490, jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin menggunakan jambatan bailey selepas pembentung di kawasan tersebut runtuh semasa banjir Monsun Timur Laut pada 1 Mac lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pemasangan jambatan bailey tersebut dilakukan sementara menanti kerja-kerja mengganti jambatan baru yang dijangka akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Saya nak ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana turun ke lapangan dengan segera bagi melihat sendiri keadaan ketika itu.
“Projek penggantian pembentung tersebut baru diluluskan oleh Kementerian Ekonomi kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah Program Gantian Jambatan, Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP4, RMKe-12).
“Projek ini akan dilaksanakan pada tahun depan dengan proses pelantikan kerja ukur dan penyiasatan tanah terlebih dahulu bagi penyediaan rekabentuk sebelum proses tender dan pembinaan dilaksanakan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, YB Tuan Nazri Ahmad pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau turut menjawab soalan tambahan ADUN Bukit Ibam berkenaan keadaan struktur jambatan bailey kini yang agak mendap kerana dilalui kenderaan berat seterusnya bahaya kepada pengguna jalan berkenaan.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah ambil maklum mengenai situasi berkenaan dan pemantauan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa selain cuba sedaya upaya untuk memulakan kerja mengganti dan membaikpulih jambatan bailey yang sedia ada,” katanya. -PAHANGMEDIA

