Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Seramai 2,500 usahawan di negeri ini telah menerima manfaat Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (i-PUSH) melibatkan peruntukan sebanyak RM24.15 juta.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, angka berkenaan melibatkan fasa pertama dan kedua yang dilaksanakan sejak tahun lepas.
“Kerajaan Negeri Pahang sememangnya prihatin dan amat komited dalam membantu para usahawan dari sudut pelbagai aspek sama ada kewangan mahupun pembangunan fizikal.
“Alhamdulillah dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Besar semalam telah dimaklumkan bahawa Skim I-PUSH ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan RM5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan ADUN Chini, YB Tuan Sharim Md Zain berkenaan tarikh permohonan baru, beliau berkata permohonan pada tahun hadapan akan dibuka seawal tahun depan dan mereka yang berminat dan memenuhi syarat boleh mohon melalui portal rasmi kerajaan negeri dipautan smu.pahang.gov.my. -PAHANGMEDIA

