Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Lima inisiatif kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini diumumkan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana penglibatan masyarakat Orang Asli dalam pembangunan Negeri Pahang tidak pernah dilupakan dan sentiasa diberi penekanan di dalam setiap pembentangan belanjawan.
“Beberapa inisiatif disediakan untuk masyarakat Orang Asli pada tahun 2024 iaitu, pertama, program Baik Pulih Rumah Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta; kedua, insentif Perkahwinan Kali Pertama Orang Asli sebanyak RM300 untuk setiap pasangan dengan jumlah peruntukan RM300,000.
“Ketiga, program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM300,000; keempat, mengadakan Program e-DOA (Education Demi Orang Asli) peringkat sekolah menengah dengan peruntukan RM200,000; dan kelima, program Pembangunan Belia Orang Asli melibatkan aktiviti sukan, perniagaan dan ICT dengan peruntukan RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga turut memberi perhatian kepada golongan komuniti rentan serta menyantuni mualaf di negeri ini dalam pelbagai program yang bakal dilaksanakan tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri juga akan memberikan perhatian kepada golongan komuniti rentan dengan membangunkan satu pusat komuniti dikenali sebagai Pusat Prihatin Pahang yang ditubuhkan oleh Yayasan Pahang dan dilengkapi dengan fasiliti seperti asrama pelajar, perpustakaan, pusat pembelajaran dan latihan, soup kitchen dan kafe dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Sesungguhnya, menyantuni mualaf amat penting. Jika tidak, masakan Allah SWT meletakkan mereka di posisi keempat sebagai asnaf dalam Surah at-Taubah ayat 60 iaitu “Sesungguhnya sedekah-sedekah itu (zakat) adalah untuk fakir, miskin, amil dan mualaf”.
“Maka dengan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi mengadakan Program Santuni Saudaraku melibatkan program utama dalam kalendar Islam seperti Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Ramadan dan Israk Mikraj,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan sebanyak RM3.5 juta bagi meneruskan pembangunan masyarakat Orang Asli, merapati komuniti rentan dan menyantuni mualaf di bawah Tunjang Kelima Belanjawan Pahang 2024 Memperteguh Kemakmuran Negeri dan Rakyat. -PAHANGMEDIA