Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM171.98 juta bagi memastikan pembinaan dan naiktaraf bangunan, asrama pelajar, klinik haiwan, mahkamah, pengairan dan saliran serta infrastruktur lain dapat dilaksanakan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha berkenaan bertujuan agar penggunaan kemudahan di tahap optimum dari segi keselamatan dan keselesaan.
“Jalan raya merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang mana telah menerima peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) sebanyak RM401.72 juta pada tahun ini bagi penyelenggaraan jalan negeri sepanjang 43,658 kilometer.
“Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan jumlah peruntukan ini terus disalurkan agar kemudahan asas terutamanya jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menyentuh berkenaan pengurusan banjir di mana fokus diberikan kepada Rancangan Pemuliharaan Koridor di Lembangan Sungai Negeri Pahang serta beberapa projek tebatan banjir dengan tujuan mengurangkan risiko banjir kepada penduduk di Pahang.
“Bagi projek tebatan banjir, sebanyak tiga projek dengan anggaran keseluruhan kos projek berjumlah RM 212.31 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di mana kesemua projek ini dijadualkan bermula pada akhir tahun ini secara reka dan bina.
“Melalui peruntukan daripada Kerajaan Negeri yang secara keseluruhannya berjumlah RM4.3 juta pula, pelaksanaan program, inisiatif serta projek yang berkaitan dengan Rancangan Tebatan Banjir, projek-projek saliran peruntukan sebanyak RM1.93 juta untuk program dan projek pengurusan lembangan sungai pada tahun 2024,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membina dan membaik pulih fasiliti awam dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pahang sebanyak sepuluh projek dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan 16 buah projek Pengurusan Kolam Takungan Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta manakala sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Program Pasca Banjir Negeri Pahang 2024,” katanya. – PAHANGMEDIA