Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM5 juta bagi mewujudkan Tabung Prihatin Pahang pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini digariskan di bawah Tunjang Kelima Belanjawan Pahang 2024 iaitu Memperteguh Kemakmuran Negeri dan Rakyat.
““Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun 2024 sebagai satu tabung kepada golongan kumpulan B40 yang memerlukan bantuan yang bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup serta untuk membiayai penyakit kronik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri mengutamakan perpaduan di setiap pelusuk negeri ini dan dengan itu memperuntukkan RM500,000 bagi pelaksanaan aktiviti dan program penggalakan perpaduan negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif Juadah Makmur iaitu satu inisiatif Kerajaan Negeri yang disediakan untuk rakyat di negeri ini melalui agihan makanan selepas solat Jumaat di sebuah masjid di setiap Parlimen pada setiap minggu. Pelaksanaan Juadah Makmur dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dan berkongsi rezeki antara rakyat dan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya. – PAHANGMEDIA