Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menyasarkan pemasangan sebanyak 160 stesen pengecasan kereta elektrik (EV) di seluruh negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyediaan stesen pengecasan ini adalah perlu bagi meningkatkan pemilikan EV di kalangan rakyat Pahang.
“Setakat ni adalah di Petronas tetapi masih belum mencukupi, sebab itu kita minta ditambahkan lagi.
“Sebab bila kita bercakap pasal kereta EV ni ramai yang lahirkan rasa kebimbangan mereka (jika) tidak dapat balik semula ke tempat mereka bertolak.
“Contoh daripada Kuantan pergi ke Cameron Highlands, mereka bimbang mereka tidak sempat patah balik sebab tak ada tempat nak cas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Merasmikan Pusat 4S Chery di Pusat Khidmat 4S Chery Malaysia di Kawasan Perindustrian Semambu, di sini hari ini.
Pusat Khidmat 4S Chery di Kuantan merupakan pusat 4S terbesar di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan pusat jualan, perkhidmatan, alat-alat ganti dan kedai (4S).
Dalam ucapannya, beliau berkata, juala EV dijangka bertumbuh empat kali ganda pada 2023 dengan insentif cukai jalan percuma sehingga 2025 dan pengecualian duti import yang dapat menjamin masa depan EV.
Jelasnya, pemilihan Kuantan sebagai lokasi pembukaan Pusat Khidmat 4S Chery menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi dan pertumbuhan ekonomi di Pahang.
Pada majlis sama, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkesempatan memandu uji model EV baru Chery iaitu Omoda E5 EV pada demonstrasi yang diadakan. – PAHANGMEDIA