Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 NOVEMBER 2023: “Melalui program ini saya dapat bantu keluarga saya terutamanya sebab saya Orang Asli, susah untuk dapat kerja, ada program ini jadi senanglah,” itu kata Zamani Malik, yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Ikon Alumni Terbaik bagi Program Jaminan Kerjaya dan Tahfiz Mahir di Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS).
Zamani, 22, yang berasal dari Kuala Lipis merupakan salah seorang alumni Orang Asli dari Program Jaminan Kerjaya KYPAS dan telah mengikuti Kursus Terminal Tractor Operator (TTO) di mana beliau kini telah bekerja di West Port Malaysia Sdn. Bhd.
Anak kelima daripada tujuh adik beradik itu berkata, beliau bersyukur kerana program tersebut dapat membantu dirinya untuk mendapatkan pekerjaan dan secara tidak langsung beliau dapat membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya di kampung.
Manakala bagi penerima anugerah ikon iaitu seorang penyelia ladang di Sime Darby Plantation Sdn. Bhd., Mohd Kifayatullah Mohd Lazin, 32, beliau menyifatkan Program Jaminan Kerjaya itu amat bagus untuk diceburi oleh belia yang masih menganggur dan boleh mengasah kemahiran.
“Program ini sangat bagus untuk belia ceburi sebab memang tidak merugikan masa dan membuka peluang (kerjaya), tempat untuk kita berubah dan mencari rezeki.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang (YP), KYPAS dan Sime Darby kerana memberi peluang kepada saya untuk menceburi dan memberi peluang untuk saya mencari rezeki ke tahap seterusnya,” katanya yang merupakan alumni kursus Technician Harvester di KYPAS.
Sementara itu, bagi Alumni Program Tahfiz Mahir KYPAS, Mohd Firdaus Mohd Noor, 21, beliau amat bersyukur dan tidak menyangka akan menjadi salah seorang di antara 10 Ikon Alumni Terbaik.
“Atas usaha saya sendiri dengan bantuan YP, bantuan chef-chef di KYPAS, program ini bagi saya memang berbaloi sebab saya sendiri sudah rasa (pengalaman), saya masuk dengan tangan kosong, tiada apa-apa kemahiran, memang berbaloi untuk cuba.
“Saya amat berterima kasih kepada YP dan KYPAS yang banyak bantu dan memberi ilmu kepada saya sehingga sekarang saya boleh berdiri dengan kaki sendiri,” katanya yang merupakan seorang anak peladang sawit.
Beliau yang sebelum ini mengikuti kursus Breakfast Production di KYPAS juga merupakan penghafaz 30 juzuk Al-Quran, dan kini merupakan seorang usahawan di Aus Roti Canai Food Truck yang terletak di Bandar Pusat Jengka.
Seramai 10 orang penerima Anugerah Ikon Alumni Terbaik Program Jaminan Kerjaya dan Tahfiz Mahir KYPAS menerima anugerah tersebut yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Hi-Tea Inspiring De’ Tea Logue Bersama YAB Menteri Besar Pahang di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, semalam.
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar Pahang sempat merakamkan jutaan penghargaan kepada YP kerana bukan sahaja menaja biasiswa kepada para pelajar di dalam mahu pun luar negara malahan turut terlibat dengan menjadi penaja utama dalam Program Jaminan Kerjaya. – PAHANGMEDIA