Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 28 NOVEMBER 2023 : Golongan muda di negeri ini diminta mengambil peluang bagi menceburi bidang pertanian yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, para petani sedia ada diminta berkongsi pengalaman bagi membuka mata golongan muda terhadap bidang ini.
“Saya bagi penekanan agar mereka terus memperkemaskan dengan inisiatif-inisiatif baru, teknologi baru, dan wariskan kepada anak muda atau generasi selepas mereka di kawasan mereka masing-masing. Hasrat ini penting sebab tak ramai lagi yang buka mata tentang potensi besar industri atau sektor pertanian ini.
“Jadi saya amat berharap yang hadir tadi (penerima BPP Kluster Petani) dapat berkongsi pengalaman dengan generasi yang selepas ini supaya sektor pertanian ini terus berkembang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Petani kepada 161 penerima di daerah Raub di Dewan Jubli Raub yang turut dihadiri Pegawai Daerah Raub, Encik Mohd Khuzaidi Harun.
Menurut beliau lagi, daerah Raub memiliki tanah pertanian yang subur dan berpotensi untuk dimajukan selain kawasan yang sesuai dijadikan kawasan penternakan.
“Kita tahu tanah di Raub ini cukup subur dan amat sesuai untuk dimajukan dalam sektor pertanian ini untuk pelbagai jenis tanaman.
“Di Raub sudah mula kembangkan industri penternakan dan tenusu ini. Jadi eloklah orang Raub ambil peluang ini sebab ramai (orang luar) berebut datang ke Raub untuk memiliki tanah untuk bertani, menternak,” katanya.
Beliau turut meminta orang di Raub untuk membuka mata dan mengambil peluang yang ada dengan mengerjakan tanah yang ada di daerah ini.
“Orang Raub kena buka mata, ada kesedaran supaya kita terlebih dahulu merebut peluang ini hasil daripada tanah kita yang cukup subur ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

