Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
SHAH ALAM, 27 NOVEMBER 2023: Kerajaan Negeri Pahang melalui Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) menyasarkan seramai 1,500 orang pelatih akan menyertai Program Jaminan Kerjaya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang bermula pada tahun 2018 itu telah merekod seramai 3,768 jumlah keseluruhan alumni, dan sehingga kini jumlah tersebut meningkat dari semasa ke semasa.
“Walaupun bermula dengan 31 orang (pelatih) pada tahun 2018, ianya terus meningkat. Bagi saya, sasaran secara khusus tidak perlu ada, yang penting kena ada peningkatan, ia merupakan ‘endless process’ sebab ini sangat penting untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Inspiring De’ Tea Logue Bersama YAB Menteri Besar Pahang dan Alumni Program Jaminan Kerjaya di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; serta Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KYPAS, YH Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Haji Abdul Jalil.
Tambahnya lagi, beliau menyifatkan program tersebut amat membantu anak muda dan belia khususnya, dalam mencari peluang pekerjaan dan meneroka kemahiran mengikut kesesuaian dan minat mereka sendiri.
“Ada diantara alumni tidak ada kemahiran langsung malahan tiada kelulusan akademik tetapi apabila memasuki KYPAS ini, apabila tamat program boleh menjalani kehidupan dan mempunyai pendapatan yang boleh menyara hidup, ini merupakan satu kejayaan,” jelasnya.
Beliau berkata, Program Jaminan Kerjaya itu juga telah terbukti dapat membantu Negeri Pahang dalam usaha mengurangkan kadar peratusan pengangguran di negeri ini.
“Negeri Pahang telah mencapai kadar pengangguran yang sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain, di peringkat nasional kadar pengangguran ketika ini ialah 3.8 peratus, tetapi di Pahang cuma 2.8 peratus sahaja, ini jelas membuktikan bahawa Program Jaminan Kerjaya ini telah mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada negeri kita,” katanya.
Sebagai rekod, Yayasan Pahang merupakan penaja utama iaitu 80 peratus (RM46 juta) daripada jumlah keseluruhan tajaan manakala lain-lain tajaan adalah daripada Yayasan Peneraju, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Penjana KPT CAP, YP Plantation Holdings dan Sime Darby Plantation Berhad.
Dalam majlis sama juga turut berlangsungnya pelancaran nama dan logo baharu KYPAS di mana kini institut tersebut dikenali sebagai Yayasan Pahang Advanced Skills (YPAS).
Majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang alumni, badan-badan penaja dan industri tersebut diadakan bagi meraikan kejayaan alumni Program Jaminan Kerjaya yang telah berjaya hasil daripada bantuan dan sokongan penaja dan rakan industri. – PAHANGMEDIA