Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 25 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sedang memperhalusi tindakan yang perlu diambil kepada pihak kontraktor yang gagal menyiapkan projek dalam masa yang ditetapkan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana beliau dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang sebanyak 70 peratus projek yang gagal diselesaikan di negeri ini adalah disebabkan oleh kegagalan pihak kontraktor.
“Ia disebabkan oleh kontraktor, saya dimaklumkan ketika bertemu dengan Pengarah JKR, boleh dikatakan 70 peratus projek yang gagal disiapkan (disebabkan masalah ini).
“Saya mengambil serius perkara ini kerana sekiranya projek ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual, yang ruginya adalah rakyat.
“Tetapi macam jambatan Tanjung Gahai ini ia siap mengikut jadual, begitu juga Agropolitan Gahai siap mengikut jadual. Jadi yang mana-mana tidak siap mengikut jadual itu memang masalah kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mudik Sungai Jelai di Dataran Kampung Bukit Betong sehingga ke Kampung Tanjung Gahai di sini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Encik Abdullah Jaafar; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau turut berharap pemilihan kontraktor bagi projek di negeri ini dapat diteliti dan diperhalusi bagi memastikan perkara ini dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Jadi saya harap penilaian kontraktor ini perlu diteliti, perlu diperhalusi, supaya kontraktor yang benar-benar mampu membuat kerja.
“Setakat ini kita masih dalam perundingan sebab kadang-kadang kelewatan itu ada juga genuine alasan yang dikemukakan. Macam Covid. Tapi tak akan setiap kali tak siap, Covid. Kita tengok yang itu. Dan ini ada jawatankuasa yang akan menilai,” katanya.
Beliau turut melahirkan perasaan berpuas hati dengan penjagaan kawasan tebing sungai oleh pihak berwajib dan orang ramai ketika mudik dari Kampung Bukit Betong ke Kampung Tanjung Gahai kira-kira 45 minit bagi melihat sendiri keadaan Sungai Jelai.
Beliau sebelum itu turut menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelai di Kampung Bukit Betong dan BPP Kluster Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kampung Tanjung Gahai melibatkan peruntukan hampir RM500,000. -PAHANGMEDIA

