Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2023: Stadium Darul Makmur bukan sahaja simbol yang membawa seribu makna, malah ianya merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat Pahang dan melambangkan sejarah dan hubung kait stadium itu dengan keluarga Diraja Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal menyifatkan sepanjang lima dekad penubuhan stadium tersebut, ianya memperlihatkan betapa erat dan dekatnya hubungan keluarga Diraja Pahang dengan Stadium Darul Makmur.

“Penubuhan Stadium Darul Makmur ini misalnya, adalah cetusan idea Almarhum Paduka Nenda Tuanku iaitu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah, ibni Almarhum Sultan Abdullah, Al-Mu’tassim Billah, pada tahun 1965.
“Malah, Almarhum Paduka Nenda Tuanku jualah, yang telah mengampuni limpah perkenan, memilih nama ‘Stadium Darul Makmur’ ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat persembahan ucapan mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena Majlis Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Stadium Darul Makmur di sini.

Turut berkenan berangkat bercemar duli ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaakob; serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Tambah beliau, rakyat Pahang telah menjadi saksi sejak 50 tahun lepas ketika Stadium Darul Makmur menganjurkan pelbagai kejohanan berprestij, termasuklah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 1996 dan 2012; Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun pada tahun 1997; selain beberapa siri kejohanan Pestabola Merdeka.
“Pada era pemerintahan Almarhum Paduka Ayahanda Tuanku, iaitu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin, Al-Muadzam Shah, antara tahun 1974 hingga 2019 pula, fungsi dan peranan Stadium Darul Makmur terus berkembang secara signifikan.
Jelasnya lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku merupakan individu yang mengangkat nilai dan makna sukan ke tahap yang lebih besar di negeri Pahang ini di mana baginda bukan sahaja pernah dipilih untuk menerajui Football Association Malaysia (FAM), malah juga selaku Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia pada tahun 2002 sehingga 2015, dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada tahun 2015 sehingga 2019.
“Ketika itu kita menyaksikan kegemilangan skuad Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, yang sentiasa penuh dan cukup meriah, hingga Pahang dinobatkan juara sulung Liga Super pada tahun 2004, juara Piala FA 2006 dan 2014, serta pastinya segar di ingatan apabila Pahang mengungguli Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2013 dan 2014,” katanya.
Terdahulu, bermula 23 November lalu, pelbagai aktiviti dan program seperti ceramah agama dan Fun and Ride berlangsung sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur. – PAHANGMEDIA

