Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah Stadium Darul Makmur dapat menjadi medan melahirkan jaguh sukan baharu di negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda bertitah hasrat ini dapat diterjemahkan melalui program pembangunan sukan kepada atlet muda serta selari dengan penubuhan stadium ini 50 tahun lalu.

“Saya (merasa) cukup nostalgia berada di sini pada malam ini, satu malam yang sama-sama kita harus bersyukur kerana dapat bersama-sama di satu malam untuk mengingat kenangan-kenangan manis sepanjang 50 tahun yang lalu.
“Dan sudah tentu terbinanya sebuah Stadium Darul Makmur ini telah melahirkan ramai anak-anak muda menjadi jaguh-jaguh anak Pahang di peringkat antarabangsa. Syabas.
“Saya berharap dalam masa yang terdekat dan jika diizinkan Allah SWT, 50 tahun lagi kita akan melihat dan melahir lebih ramai lagi jaguh-jaguh yang baru, akan dilahir di Negeri Pahang ini melalui program-program pembangunan daripada stadium ini,” titah baginda ketika bercemar duli merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur malam ini.

Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
KDYMM Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku sejarah Memoir 5 Dekad serta logo baharu Perbadanan Stadium Darul Makmur.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mendengar sembah ucapan daripada Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal dan tayangan montaj Memoir 5 Dekad Stadium Darul Makmur sebelum menyaksikan persembahan malam gala dan persembahan nyanyian.

Seri Paduka Baginda berdua diiringi KDYMM Pemangku Raja Pahang kemudiannya berkenan menyantuni rakyat yang hadir ke majlis sambutan dengan berjalan kaki mengelilingi stadium.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mendendangkan lagu Setia, disusuli dengan dendangan solo lagu Butakah Cinta yang dipopularkan oleh kumpulan Spring yang mendapat sorakan gemuruh pengunjung sebelum berangkat pulang.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang.
Majlis sambutan ini turut diserikan dengan persembahan tarian oleh 420 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dan dimeriahkan dengan kehadiran 15,000 pengunjung. -PAHANGMEDIA

