Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 24 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke Majlis Pelepasan Misi Penghantaran Barangan Keperluan Makanan Kering Ke Pangkalan Hadapan Di Mukim Hulu Tembeling di sini.
Turut mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.

Baginda berdua sebelum itu berkesempatan menunaikan Solat Jumaat bersama penduduk tempatan di Masjid Kampung Kuala Sat.
Pada majlis itu, sebanyak lima bot, sebuah lori dan dua kenderaan pacuan empat roda dilepaskan sebagai simbolik pelepasan misi penghantaran barang keperluan makanan kering di enam pengkalan hadapan di Mukim Hulu Tembeling.
Pengkalan hadapan tersebut membabitkan balai raya Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Sungai Kucing.

Kesemua enam pengkalan hadapan tersebut menerima 19 tan barangan keperluan makanan kering berupa beras, minyak, gula, teh, kopi, garam, sardin, kari ayam dan biskut.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBrs Puan Siti Nor Hasma Mat Isa berkata, kesemua 19 pangkalan hadapan di Daerah Jerantut akan menerima sebanyak 44.7 tan barangan keperluan makanan kering sebagai persiapan musim tengkujuh kali ini.
Pada majlis sama, KDYMM Seri Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan kepada 150 asnaf dari Kampung Kuala Sat.
Selepas majlis pelepasan misi penghantaran makanan kering kepada enam pengkalan hadapan, KDYMM Seri Paduka Baginda berkesempatan melakukan ziarah kasih ke lima rumah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).-PAHANGMEDIA

