Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan pendapatan bagi Stadium Darul Makmur akan melebihi RM3 juta pada tahun hadapan berdasarkan peningkatan pendapatan pada tahun ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebelum ini pendapatan stadium hanya RM1.2 juta namun meningkat kepada RM2 juta pada tahun ini yang menjadikannya optimis bagi mencapai sasaran RM3 juta pada 2024.
“Saya dapat makluman ini terlalu drastik tetapi melihat kepada potensi stadium sendiri tidak mustahil kita boleh jana pendapatan lebih daripada itu. Jadi saya letak siling dia lebih RM3 juta walaupun sebelum ini hanya RM1 juta lebih saya rasa pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur boleh lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, petang semalam.
Jelasnya, bagi mencapai sasaran itu, pihak Stadium Darul Makmur boleh menyewakan kemudahan yang terdapat di stadium kepada orang luar seperti dewan selepas ianya ditambahbaik bagi keselesaan pengguna stadium.
YB. Fadzli berkata, banyak perubahan dan penambahbaikan telah dilaksanakan selepas 50 tahun bagi memastikan keselesaan orang ramai.
“Pada awal lagi saya telah mengambil pendekatan penambahbaikan sebab memang banyak komen yang negatif pada peringkat awal saya jadi Exco berkenaan dengan kemudahan atau fasiliti yang disediakan di Stadium Darul Makmur ini dan atas dasar itu saya telah memohon peruntukan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Dan Alhamdulillah Kerajaan Negeri telah menyumbang sebanyak RM1.4 juta untuk pembaikan atau baik pulih tersebut antaranya adalah untuk baik pulih tandas, surau dan juga persekitaran stadium dan yang penting wajah baru bangunan stadium di bahagian luar,” katanya.
Kerajaan Negeri juga akan berusaha memastikan orang ramai dapat menerima manfaat daripada kemudahan yang terdapat di stadium di samping setiap ruang stadium dapat digunakan sebaiknya.
Jelasnya, fasa kedua penambahbaikan stadium akan membabitkan peruntukan yang lebih besar serta memerlukan bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
YB. Fadzli berkata, Stadium Darul Makmur merupakan mercu tanda utama Negeri Pahang kerana lokasinya yang strategik membolehkan potensi stadium dapat dikembang dan diperluas pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

