Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 21 NOVEMBER 2023 : Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Kampung Luit di sini merupakan PPT yang pertama di Malaysia dibina dengan kos RM650,300 dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas ketika bencana banjir antaranya bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan membersihkan diri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PPT Kampung Luit ini mampu menampung 24 keluarga mangsa banjir pada satu-satu masa.
“Kerajaan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM31 juta bagi pembinaan PPT di lima daerah di Pahang iaitu Maran, Lipis, Kuantan, Pekan dan Temerloh.

“Peruntukan itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam mengurangkan risiko bencana banjir yang berlaku setiap tahun sekaligus dapat memberikan keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditimpa bencana.
“Di Pahang ini kita ada lima daerah yang akan kita buat Pusat Pemindahan Tetap, ini yang pertama, akan diikuti di Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan dan kos keseluruhan ialah RM31 juta untuk kita buat Pusat Pemindahan Tetap ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Pertama di Malaysia di PPT Kampung Luit, di sini hari ini.

Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Dr. Zakaria Ibrahim, Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Sri Yahaya Othman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBrs Puan Siti Nor Hasma Mat Isa, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Azimi Yunus dan Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Sharuddin Jali.
Beliau berkata, empat lagi PPT masih dalam proses pentadbiran dan pembinaan dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sehingga kini Kerajaan Negeri telah bersiap sedia menghadapi bencana banjir yang berkemungkinan berlaku pada Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah melanda Pahang.
Katanya, semua bantuan dan bekalan sudah pun hantar ke 159 pengkalan hadapan di seluruh Pahang manakala 856 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau sudah pun bersedia untuk menerima mangsa banjir.
Malah jelasnya, Kerajaan Negeri juga telah menambahbaik kualiti pembungkusan makanan segera kepada mangsa-mangsa banjir agar dapat dimasak dan dimakan dengan mudah pada peringkat awal perpindahan ke PPS atau PPT apabila dilanda musibah banjir.
“Bukan sahaja pemindahan tetap (diwujudkan), malahan daripada segi makanan pun kita telah ubah, makna apabila mereka sampai ke sini kita bagi satu pek makanan yang siap dalam 2 ke 3 minit yang agak lazat,” katanya. – PAHANGMEDIA

