Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
ROMPIN, 21 NOVEMBER 2023 : Aktiviti turun padang dapat membantu mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh atlet di Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia juga dapat mengalakkan penglibatan lebih ramai atlet berpotensi.
“Sekarang kita tengah nak tingkatkan prestasi dan pencapaian sukan di negeri Pahang ini. Jadi aktiviti turun padang ini amat penting sebenarnya untuk saya kenalpasti masalah, selesaikan masalah, dan menggalakkan penglibatan lebih aktif kelompok-kelompok yang berpotensi untuk mengharumkan nama Negeri Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama dan penyampaian bantuan Kerajaan Negeri Pahang kepada 12 orang pelajar yang merupakan atlet angkat berat di SMK Rompin.
Menurut beliau lagi, sukan angkat berat juga merupakan bidang sukan yang beliau fokuskan untuk diangkat kembali sehingga berjaya.
“Saya tengok potensi besar sekolah ini (SMK Rompin) terutama lokasinya yang dekat dengan pusat latihan angkat berat.
“Sejak daripada awal lagi, saya dah berikrar nak angkat semula sukan angkat berat di Rompin dan Negeri Pahang ini sebab satu ketika dahulu memang kita dikenali menghasilkan, melahirkan ramai badang-badang negara.
“Saya rasa tak ada sebab tak boleh dikembalikan moment indah tersebut dan sebab itulah saya hadir ke SMK Rompin pada hari ini untuk mendapatkan sokongan pihak berkepentingan khususnya pihak PPD (Pejabat Pelajaran Daerah), pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau juga menyatakan perancangan untuk memberi fokus berdasarkan kawasan atau daerah mengikut bidang sukan namun ia sedang diperhalusi lagi.
“Dalam sesi pertemuan saya bersama jurulatih dan pengurus pertengahan tahun lalu, memang ada cadangan tersebut.
“Saya nak perincikan cadangan tersebut dalam pertemua kedua pada hujung tahun ini tapi yang lebih penting adalah persiapan kita menghadapi SUKMA di Sarawak tahun hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

