Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2023 : Klinik Desa Paya Pasir, Maran merupakan salah satu daripada 42 buah projek menaiktaraf fasiliti kesihatan di Pahang di mana ianya telah menelan belanja sebanyak RM382,000 dan berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek naik taraf tersebut menggunakan konsep ‘typical design’ yang dibangunkan sendiri oleh Unit Kejuruteraan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
“Reka bentuk ini berbeza daripada reka bentuk klinik desa sedia ada dengan penambahan bilik pemeriksaan dan rawatan daripada satu bilik kepada empat bilik. Terdapat juga penambahan 2 unit tandas, selain ruang menunggu, bilik penyusuan dan bilik penyimpanan peralatan.

“Selain dari Klinik Desa Paya Pasir, lapan buah klinik desa lain di Pahang juga dinaik taraf menggunakan ‘typical design’ ini,” katanya yang merasmikan klinik desa tersebut hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pesakit dan pelawat, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menyenaraikan fasiliti kesihatan daif yang perlu dinaiktaraf pada tahun hadapan.
“Projek penambahbaikan ini juga akan meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan kesihatan selari dengan prinsip ekonomi Madani, antaranya memberi tumpuan berkaitan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemampanan sistem ekonomi itu sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif menaik taraf klinik kesihatan daif ini adalah untuk mengurangkan kadar kesesakan di hospital awam serta dapat mengurangkan jurang perkhidmatan kesihatan di antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Terdahulu, Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM12.15 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf fasiliti-fasiliti daif di mana sebanyak 25 projek telah disiapkan manakala baki 17 projek masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan Disember ini. – PAHANGMEDIA

