Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 NOVEMBER 2023 : Rakyat Pahang diseru agar dapat memperkukuhkan perpaduan kaum dan mempertingkatkan kestabilan politik di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keunikan negara Malaysia yang dihuni berbilang kaum turut mendapat perhatian daripada negara antarabangsa.
Jelasnya, ini kerana kepelbagaian kaum melahirkan beraneka budaya dan kesenian yang unik tetapi dapat disatukan di bawah satu nama Bangsa Malaysia yang dapat memberi kekuatan dari aspek ekonomi dan pembangunan negara khususnya Negeri Pahang.

“Dan yang lebih penting ialah untuk kita memastikan negeri dan negara kita ini maju ke hadapan kerana persaingan kita sekarang ini bukan persaingan politik semata-mata tetapi adalah persaingan antara negara-negara di dalam dunia ini,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai yang berlangsung meriah di Dewan Komuniti Karak, Bentong.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Bentong, YB. Puan Young Syefura Othman, ADUN Sabai, YB. Tuan V. Arumugam, ADUN Pelangai, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Pemangku Pengerusi UMNO Bentong, YH. Dato’ Sri Mohamad Zaini Salleh, Timbalan Pengerusi UMNO Bentong, YH. Dato’ Haji Hazraf Ali Hassan, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail dan pemimpin-pemimpin setempat.

Pada majlis itu, seramai 2,000 penganut Hindu hadir bagi meraikan sambutan Deepavali yang berlangsung meriah.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy meminta agar rakyat Pahang dapat meneruskan keharmonian kaum di negeri ini kerana dapat memberi impak yang besar dalam pembangunan negeri terutama membabitkan sektor ekonomi.
Ini terbukti apabila Kerajaan Pahang telah berjaya mencapai sasaran Kutipan Hasil Negeri melebihi RM1 bilion sehingga Oktober lepas sekaligus menjadikan pencapaian ini pada tahun kedua berturut-turut.
Beliau turut mengakui kejayaan ini dicapai hasil daripada kesepaduan kaum berbilang bangsa di negeri ini yang melahirkan keharmonian yang dapat menjadi tarikan kepada pelabur sama ada di dalam dan luar negara. – PAHANGMEDIA

