Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 26 SEPTEMBER 2023 : “BN (Barisan Nasional) sentiasa aman damai dan bersih, parti UMNO pun parti Islam, kita pun orang Islam, jangan kita mengecilkan hati sesama kita,” itu antara perkongsian Puan Saadiah Ali apabila ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai yang akan berlangsung pada Oktober depan.
Bagi penduduk Rumah Murah Simpang Pelangai, Puan Saadiah Ali, 71, keluarga dan anak-anaknya mendapat pelbagai bantuan yang diberikan oleh BN sejak dari dahulu lagi.

“Sekarang parti lain pegang macam tak sesuai, tak sampai berapa tahun dah ‘out’, dari kecil memang arwah ayah saya ajar (menyokong BN), sampai sekarang saya tidak pernah berubah, sampai anak-anak saya pun saya ingatkan, mereka sekolah pun BN yang banyak bantu kita, bukan parti-parti lain,” katanya.
Manakala bagi Puan Hajah Rominah Abdullah, 72, calon yang mewakili Barisan Nasional kali ini dilihat amat bertepatan dan bakal mendapat kemenangan mudah pada pilihan raya akan datang.

“Calon baru ni, bersyukurlah kerana dia (Dato’ Amizar Abu Adam) orang Pelangai, sebab dia orang tempatan di sini, saya memang suka sangat dengan calon baru ini.
“Yang pertama, calon baru ini semua orang Pelangai memang suka, yang kedua, anak-anak saudara saya memang ramai lebih kurang 50 orang, semua sukakan Mizar, sebab Mizar ni anak yang baik, memang yakin lah BN menang,” katanya yang berasal dari Kampung Hayat.

Dalam pada itu, Tok Empat Agropolitan Chemomoi, Encik Abdul Kholid Mohd Sharif meminta semua warga Pelangai untuk memilih calon Barisan Nasional pada hari pengundian nanti.
“Calon yang terpilih untuk kali ini saya kira yang terbaiklah untuk Pelangai, dapat menyambung kerja-kerja tertunggak daripada arwah Dato’ Seri Johari, anak-anak muda terutamanya di Agropolitan Chemomoi saya minta turunlah mengundi pada 7 Oktober nanti, pangkahlah Barisan Nasional, ini (Dato’ Amizar Abu Adam) kehendak orang Pelangai, jadi kita dah dapat calon kita, kita mestilah sokong sepenuhnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

