Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Azmaidi Abidin
KUANTAN, 26 SEPTEMBER 2023 : Empat usul berkenaan pendidikan, perumahan, keselamatan makanan, dan digital ekonomi, diperhalusi pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Pahang hari ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal yang juga berkata kesemua usul ini akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbang dan diputuskan.
“…program ini bagi kita mendengar cadangan, pandangan, idea, serta komen daripada pemimpin-pemimpin belia di negeri ini.
“Ada empat usul yang dibentangkan hari ini berkait dengan pendidikan awal, security makanan, digital ekonomi, dan bantuan perumahan belia.
“Kita tak dapat banyak usul nak bawa hari ini, disebabkan kekangan masa dan sebagainya, dan empat usul ini kita dah perhalusi tadi, kita dah dengar pembentangannya dan kita juga dengar ulasan daripada jabatan (terlibat) dan kita setuju empat usul ini dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk dipertimbang dan diputuskan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perundingan Negara Peringkat Negeri Pahang di Bilik Mesyuarat UTC Kuantan hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, YBrs. Encik Mu’azamir Haji Jili; dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang Merangkap Presiden Majlis Belia Malaysia, YBrs. Mohd Izzat Afifi Dato’ Abdul Hamid.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang sangat mengambil berat berkenaan pembangunan belia di negeri ini dan telah memperuntukkan kira-kira RM4 juta bagi tujuan ini pada tahun ini.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat soal pembangunan belia di negeri ini dan kita belanja lebih RM4 juta tahun ini untuk membantu program-program serta perancangan berkait dengan soal masa depan belia di negeri ini.
“Untuk tahun hadapan, sudah pasti kita ambil pendekatan yang sama kerana belia ini perlu di bantu, perlu kita Kerajaan ambil berat masalah dan keluhan mereka.
“Dan platform-platform sebegini akan saya gunakan untuk mendengar keluhan, pandangan daripada Kerajaan Negeri untuk manfaat bersama,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan satu program bersama belia di negeri ini dalam masa terdekat bagi mendengar pendapat dan pandangan belia di negeri ini. -PAHANGMEDIA

