Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 26 SEPTEMBER 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru agar orang ramai khususnya penduduk di DUN Pelangai supaya dapat mengekalkan keharmonian dan perpaduan.
Beliau berkata, setiap kaum perlu saling menghormati dan menjunjung perlembagaan yang telah termaktub bagi memelihara kepentingan setiap kaum sama ada Melayu, Cina, India mahu pun Orang Asli di negeri ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan di sini, kita kekalkan keadaan seperti ini, keharmonian seperti ini, perpaduan kaum, seronok tengok tadi, ada Melayu, India dan Cina makan semeja, ini negara kita, kita dilahirkan dengan kepelbagaian kaum ada Melayu, Cina, India, Orang Asli dan sebagainya.
“Dan semua bangsa dan kaum kena hidup antara satu sama lain tetapi perlu menghormati dan menjunjung apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Karnival Buah-Buahan Daerah Bentong Tahun 2023 bertempat di Dataran Pelangai, Bentong.
Hadir sama ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura Othman dan Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom.
Pada karnival itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut melancarkan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Petani.
Mengulas perkembangan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, rakyat perlu bijak memilih dengan menilai pelbagai aspek pembangunan yang telah dirangka untuk penduduk DUN Pelangai.
“Sebabnya negara, negeri, dunia kita perlukan kestabilan dan kemakmuran, kita perlukan kestabilan politik, kita perlukan perpaduan, kalau tidak kita lihat berapa negara di luar daripada tempat kita ini bila mana ekonominya teruk, pengangguran tinggi, akan timbul isu dalaman sesama sendiri walaupun sebangsa,” katanya. – PAHANGMEDIA

