Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 SEPTEMBER 2023 : Tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 3 Oktober ini memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan 73 kertas undi pos semalam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.36 Pelangai.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia hari ini, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak, kertas undi pos yang dikeluarkan ini melibatkan tiga kategori.
“Bagi PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang, sebanyak 73 kertas undi pos telah dikeluarkan yang terdiri daripada 69 Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, dan Petugas Media), satu Kategori 1C (Agensi dan Organisasi) serta tiga Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
“Kesemua anggota polis bagi PRK Dewan Neger N.36 Pelangai, Pahang telah dikeluarkan kertas undi secara pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 3 Oktober 2023 (Selasa) nanti,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, proses pengeluaran kertas undi pos telah dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 7 Oktober 2023 (Sabtu).
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” menurut kenyataan berkenaan. -PAHANGMEDIA

