Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 25 SEPTEMBER 2023 : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai melahirkan keyakinan terhadap sokongan yang diterima daripada masyarakat Orang Asli setempat.
YH. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, ini hasil daripada pertemuan bersama masyarakat Orang Asli di dua perkampungan hari ini.

“Alhamdulillah saya dapat jumpa Orang Asli di dua kampung ini (Kampung Ulu Semei dan Kampung Gapoi) memberi impak yang sangat besar (undi pada PRK) terutama sekali orang kampung boleh nampak Barisan Nasional ini.
“Dia masih terkenang, teringat Barisan Nasional ini tetap di hati mereka sebab Barisan Nasional ini yang membantu banyak Orang Asli ini sampai ke tahap ini.
“Kalau kita tengok di dalam ini (perkampungan Orang Asli) banyak perumahan-perumahan dan banyak lagi yang telah dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program santuni masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Kampung Gapoi hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Felda kini bukan lagi kubu kuat UMNO beliau berkata dua calon yang bertanding pada PRK kali ini merupakan orang Felda.
“Itu biasa. Saya ni komen sangat sebab yang bertanding ini dua-dua orang Felda. Kalau dia kata kubu kuat, saya orang Felda, saya tahulah kekuatan Felda itu di mana. Insya-Allah kita saksikan nanti,” ulas beliau.
Beliau turut melahirkan keyakinan akan ada perubahan undian kepada Barisan Nasional daripada pengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya kali ini.
“Itu sudah semestinya. Dalam konteks kebersamaan Kerajaan Perpaduan, itu adalah salah satu objektif yang telah kita laksanakan dan perjalanan kita nampak lebih akrab, lebih tersusun,” katanya.
Beliau sebelum itu telah mengadakan ziarah kasih di Penempatan Agropolitan Chemomoi sebelum menyantuni masyarakat Orang Asli Ulu Semei hari ini. -PAHANGMEDIA

