Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Azmaidi Abidin
BENTONG, 25 SEPTEMBER 2023 : Semua pihak perlu patuh berkenaan larangan daripada memainkan sentimen bangsa, agama, dan institusi di Raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.36 Pelangai.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata larangan ini dikeluarkan untuk kebaikan masyarakat dan negara bukan untuk kepentingan pihak tertentu.
“Kita di Pahang ini kita dah hidup dalam rukun, aman, damai, dan sejahtera. Dan sememangnya kita tak biasa dengan aktiviti memaki hamun, menanam kebencian, menghasut, dan memecah belah.
“Apatah lagi yang menyentuh soal 3R perlu sangat dielakkan bukan sahaja di Pahang tapi di seluruh negara. Dan di sini pula kita ada masyarakat di kampung tradisi, macam di Kampung Syafie, kita ada masyarakat Felda, di Kampung Baru Cina, di kawasan Kampung Orang Asli, jadi ada masyarakat berbilang kaum, berbeza latar belakang.
“Jadi jangan isu 3R ini mengakibatkan timbul rasa tidak selesa dalam masyarakat itu sendiri. Dan kita patuhlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke gelanggang futsal dan liga sepakan penalti di Padang SK Shafie semalam.
Beliau berkata sentimen ini tidak perlu dimainkan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terutamanya semasa musim berkempen ini.
“Sebab kita nak menjaga masyarakat berbilang kaum di negara ini jadi kena patuhlah. Tambah pula musim berkempen ini sebab emosinya berbeza bila semua bagi tumpuan di Pelangai ini. Dan kalau kita menimbulkan isu ini dia boleh bagi kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negara.
“Kita masuk ke Pahang ini ikutlah cara Pahang. Janganlah kita mengadu domba, menggunakan 3R ini untuk meraih undi dan sokongan sebab akhirnya kesan kepada masyarakat.
“Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sering ingatkan kita, pemimpin dan masyarakat serta rakyat di negeri Pahang ini agar patuh tidak menyentuh isu 3R sebab kita tahu keadaan politik negara kita yang kurang stabil sekarang jadi kalau kita main isu ini ia boleh mengelirukan masyarakat dan beri kesan tidak baik kepada negeri dan juga negara,” katanya.
Tambah beliau terdapat banyak perkara yang boleh disentuh selain sentimen 3R ketika berkempen dan sekiranya perlu, berhujah menggunakan fakta sahaja.
“Jadi kita elak kerana banyak lagi perkara kita boleh sentuh. Kita berlawan dari segi fakta misalnya, berhujah, tak ada masalah. Kenapa kita masih dibelenggu nak mainkan isu 3R untuk meraih sokongan politik,” katanya. -PAHANGMEDIA

