Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 SEPTEMBER 2023 : Rakyat perlu bijak menilai kesungguhan, prestasi serta pencapaian yang dipamerkan oleh Barisan Nasional dalam membela nasib rakyat dan bukan menilai berdasarkan sentimen semata-mata.
Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini, beliau melihat banyak sentimen dimainkan oleh pihak parti lawan, namun apa yang dikatakan belum pasti kesahihannya.
“Ini yang menyebabkan ada yang termakan dan terpedaya malah mereka (rakyat) membuat keputusan yang silap, dalam apa jua keputusan kita, kita mesti lebih kepada prestasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Konvensyen Anak Yatim Permata Hati (PERHATI) Negeri Pahang 2023, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinannya sentiasa komited dan sedaya upaya mentadbir negeri ini dengan baik.
“Berbalik kepada Kerajaan Negeri Pahang, saya bersama rakan-rakan Exco, wakil-wakil rakyat termasuk ketua-ketua jabatan kita dah buat yang sehabis baik mengikut keupayaan kita.
“Saya bersyukur juga kita masih mendapat 17 kerusi, tetapi kalau nak kira prestasi, sepatutnya lebih dari itu, jadi saya dan rakan-rakan fikirkan macam mana kita nak (bandingkan) prestasi dan sentimen ini, supaya prestasi tetap mengatasi sentimen,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut meminta agar rakyat tidak mudah mempercayai segala sentimen yang di bawa oleh parti lain.
“Sentimen ini maknanya dia (rakyat) dengar dia percaya, tetapi ia tidak berasaskan kepada fakta, seperti contoh, kita ada RM3.3 bilion hutang kerajaan negeri, sekarang ini kita kurangkan kepada RM950 juta, itu fakta, tetapi orang tidak mahu dengar.
“Sebagai parti politik, memberi kesejahteraan kepada rakyat itu penting, pada masa-masa akan datang kita mesti meletakkan prestasi itu menjadi ukuran untuk kita membuat pilihan,” katanya. – PAHANGMEDIA

