Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2023 : Ahli UMNO Bentong telah bersetuju untuk menyokong calon yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh mereka pada Retreat Kesiapsiagaan Jentera Pilihan Raya Kecil N36 Pelangai bersama UMNO Bahagian Bentong pada Sabtu lepas.
“Kita baru buat retreat di ILMU (Institut Latihan Memperkasa Ummah) Janda Baik. Di akhir retreat tersebut, kita telah setuju supaya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon dan mereka akan setuju.
“Ini bukan setakat ucapan, malah mereka telah setuju untuk baiah supaya akan menyokong siapa juga calon yang akan ditunjukkan oleh pucuk pimpinan,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku “Budi Pujangga” dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist hari ini.
Beliau berkata, senarai nama calon bagi PRK Pelangai akan diumumkan beberapa hari sebelum tarikh penamaan calon pada 23 September.
“Saya akan bincang dengan Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mendapat persetujuan beliau supaya beliau boleh mengeluarkan watikah. Insya-Allah kita akan umumkan awal, dua tiga hari sebelum 23 haribulan (September), bukan 17 haribulan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, dan 23 September ditetapkan sebagai tarikh bagi hari penamaan calon. – PAHANGMEDIA

