Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 11 SEPTEMBER 2023 : Sejak dari dahulu, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sememangnya ditadbir dan dipegang oleh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai bantuan dan usaha pembangunan telah dirancang di bawah Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
Kesepaduan di kalangan masyarakat ini membuktikan tiada perbezaan kaum dan bangsa dalam setiap peringkat perancangan pembangunan yang diusulkan sebelum beliau terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Kampung Manchis, Encik Jonathan Chan Ling Kean berkata, sejak dari dahulu kesepaduan penduduk di kalangan pelbagai bangsa sangat harmoni di DUN Pelangai dan ini menjadikan sokongan kuat akan terus diberikan terhadap BN.

“Sejak dari dulu kerusi ini memang dipegang oleh UMNO dan BN lah, so sebagai MCA kita pun dalam satu parti komponen yang sama, kita dari dulu memang kita dari kampung kecil berkembang, kita punya kehidupan naik taraf, tempat dijaga, penduduk insentif semua diberikan tak kita you kaum apa Cina, Melayu, India dia (BN) semua jaga, itulah sebab sampai hari ini kita masih berpegang teguh dalam satu pendirian sebab ini tempat PRK pegang UMNO, makna kita dalam satu parti komponen sama, kita bersatu hati, we still together, that’s the reason,” katanya.
Bagi Ketua MIC Cawangan Manchis, Encik Ayappan Sandoo berkata, sokongan masyarakat India terhadap BN dan UMNO akan kekal sama seperti berpuluh tahun lalu.
“Kita dulu sampai sekarang, kita BN punya orang, saya sokong Kerajaan Negeri dulu sampai sekarang, BN boleh buat, BN boleh tolong, saya bukan baru (dalam politik), sudah 40 tahun saya (berada) dalam politik, BN boleh buat punya, (kami) boleh tolong, kita harap Dato’ Joe banyak tolong, apa boleh buat ini Tuhan punya kuasa, sekarang akan letak siapa (calon) datang kita tolong sahaja bagi BN menang, kita mahu itu kerusi kekal.

“Pelangai kita tengok India tiada masalah, lepas itu Dato’ Joe banyak tolong, dulu Dato’ Nan pun banyak tolong, jadi mereka (India) memang ikut BN sahaja, kalau ada apa-apa dia sendiri (masyarakat India) pun faham, dia (masyarakat India) ada masalah apa-apa pun BN tolong,” katanya.
Bagi ADUN Sabai, YB. V. Arumugam berkata, kesungguhan Allahyarham Dato’ Sri Johari dalam membantu rakyat tanpa mengira kaum meski pun bukan di kawasan Pelangai sejak dahulu lagi.
“(Allahyarham Dato’ Sri Johari) berjasa kepada bukan sahaja DUN Pelangai tetapi juga di Sabai, kami memang telah lama merancang untuk membangunkan Sabai terutamanya dalam hal perumahan dan juga pembinaan dewan serbaguna,” katanya. – PAHANGMEDIA

