Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang bercadang untuk meluaskan penubuhan kelab pendidikan Muzium Pahang ke sekolah di semua daerah di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi merealisasikan satu kelab yang dapat mendedahkan para pelajar dengan sejarah negara.
“…telah berjaya merealisasikan kelab pendidikan muzium di semua daerah, di sekolah-sekolah. Ini adalah satu usaha yang sangat baik.
“Ini kerana kita tahu generasi sekarang perlu didedahkan kepada sejarah, kalau tidak kita akan lupa sejarah di negara dan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku “Budi Pujangga” dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist hari ini.
Turut hadir, YB. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman; dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, usaha ini selari dengan Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) yang telah dilancarkan pada 2021 di mana Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan mengorak langkah seiring dalam mencapai aspirasi kecemerlangan pendidikan.
“Lebih-lebih lagi dalam menghadapi persekitaran yang berdaya saing dan corak pembelajaran yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman,” katanya. -PAHANGMEDIA

