Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2023 : Program Kids Athletics dilihat menjadi program asas bagi mengenalpasti atlet yang berkelayakan sejak dari peringkat awal di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata atlet yang telah dikenalpasti dapat digilap sehingga ke peringkat seterusnya.

“Ini adalah satu program yang bagus, kita nak mencungkil bakat-bakat baharu daripada kalangan anak-anak di sekolah rendah lagi dan kita boleh tanam minat pelajar-pelajar sekolah rendah ini untuk terlibat aktif dalam bidang sukan.
“Dan saya minta Majlis Sukan Pahang (MSP) untuk terlibat sama selepas ini dalam sukan ini kerana daripada bakat-bakat yang dikesan ini mungkin kita boleh gilap.
“Kita tak nak program ini terhenti setakat ini sahaja, dah cari bakat baru, dah timbulkan minat terhadap sukan tapi terhenti begitu sahaja. Jadi rugilah. Saya harap ada kesinambungan selepas program ini, kita asah bakat ini supaya paling penting target kita adalah penyertaan di SUKMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Kids Athletics Peringkat Negeri Pahang di Stadium Hoki, Kompleks SUKPA hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Persatuan Olahraga Pahang, Dato’ R. Annamalai; Penyelaras Sukan Olahraga MSP, Encik Rahimi Ruslan; dan Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Khairul Izwan Ismail.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengajurkan program yang sama pada tahun hadapan bagi memastikan pelajar dari semua daerah dapat mengambil bahagian.
“Saya dah menyatakan kesediaan untuk penganjuran program ini secara tahunan yang akan dapat kerjasama Majlis Sukan Pahang dan saya rasa tiada halangan bagi kita untuk melaksanakan program ini pada masa hadapan.
“Dan saya minta pada tahun hadapan diadakan (program) ini di sini (Kuantan) dan di Dong (Raub) bagi cover kawasan Pahang Barat kerana untuk ke sini jauh juga (jarak) bagi kawasan Pahang Barat,” katanya. -PAHANGMEDIA

