Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2023 : Pembinaan semua 270 menara telekomunikasi di negeri ini berada di landasan yang ditetapkan buat masa ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata kesemua menara berkenaan di bina di bawak pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.
“Saya dah bentang dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) baru-baru ini, 79 menara telekomunikasi di seluruh Pahang telah siap bermakna bakinya, 191 baki menara ini sedang dibina dan ada beberapa, sedikit lagi yang dalam proses perolehan tapak.
“Cumanya bermula pada tahun ini, saya memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia ini, kita dah adakan kerjasama strategik dengan pihak-pihak berkepentingan termasuklah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Koridor Utiliti Pahang (KUP), Pahang Corporation, termasuk juga Jabatan Hutan, pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK), dan beberapa pihak lain untuk kita mempercepatkan proses sedia ada.
“Tapi progress boleh saya katakan on track dari segi pembinaan menara-menara telekomunikasi di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Kids Athletics Peringkat Negeri Pahang di Stadium Hoki, Kompleks SUKPA hari ini.
Beliau berkata setakat ini Pahang berada di antara negeri yang mempunyai kemajuan dari segi pembinaan dan pengaktifan menara telekomunikasi di negara ini.
“Dan kita sudah nampak impaknya dan kemajuan ini kita nampak jelas sekarang di mana Pahang antara negeri yang dari segi progressnya makin laju untuk pembinaan dan pengaktifan menara telekomunikasi ini.
“Jadi saya ucap terima kasih kepada agensi-agensi terlibat walaupun kita kerap adakan mesyuarat dan perbincangan, akhirnya hasil kita dah tengok hari ini.
“Cuma ada beberapa kawasan tertentu yang memang kita masih dalam perolehan tapak lagi khususnya di hutan-hutan simpan. Memang prosedurnya sedikit berbeza dengan tanah Kerajaan, tanah individu, dan sebagainya. Tapi progress boleh saya katakan on track dari segi pembinaan menara-menara telekomunikasi di seluruh Pahang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri mencuba sedaya upaya bagi memastikan kesemua menara telekomunikasi di negeri ini dapat disiapkan dan beroperasi pada penghujung tahun ini.
“Memang saya dah syaratkan, saya dah jumpa semua telco, semua pihak berkepentingan, saya letakkan dua syarat. Pertama, perolehan tapak untuk menara ini selesai pada Jun, hujung Jun tahun ini. Tapi ada beberapa perkara yang tidak mampu, yang ada masalah, itu yang mungkin menara di kawasan tersebut lewat sedikit.
“Tapi memang kita still kejar kalau boleh hujung tahun ini siap dan beroperasi. Cuma mungkin beberapalah isu tanah yang kita tak boleh nak elak. Tapi on track,” katanya. -PAHANGMEDIA

