Oleh : Farahin Rosli
BERA, 9 SEPTEMBER 2023 : Penubuhan Rakan Komuniti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha meminimumkan pencerobohan aset kerajaan negeri sama ada perlombongan haram mahupun pencerobohan tanah haram.
Rakan Komuniti UPNP berfungsi melalui penghulu mukim dalam daerah di mana mereka dilantik sebagai ejen yang akan berkongsi dan memberi pendedahan kepada komuniti setempat berkaitan pengurusan pentadbiran tanah negeri Pahang.
Bagi Penghulu Mukim Bera 1, Encik Saharil Apindi Ahmad, 47, penubuhan komuniti ini dapat membantu dalam mengurangkan kadar pencerobohan di daerah itu khasnya.

“Melalui Rakan Komuniti UPNP ini, kami akan memberi nasihat dan teguran jika berlaku perlanggaran yang melibatkan akta atau enakmen yang berkaitan dengan tanah.
“Kami juga berfungsi sebagai orang yang akan menyampaikan kepada pihak berwajib jika berlaku penerokaan tanah secara haram di kawasan ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Manakala bagi Penghulu Mukim Triang 1, Encik Khairul Azmee Bukhari, 45, dengan wujudnya Rakan Komuniti UPNP ini dapat merapatkan lagi hubungan antara orang awam dengan pihak UPNP.

“Maklumat-maklumat yang diterima oleh penduduk kampung mengenai sebarang pencerobohan tanah akan dibawa terus kepada pihak berwajib sebab sebelum ini memang berlaku pencorobohan tanah di kawasan ini,” katanya yang turut memangku jawatan sebagai Penghulu Mukim Triang 2.
Kedua-dua penerima sijil Rakan Komuniti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang tersebut menerima sijil di Karnival Tanah Negeri Pahang Peringkat Daerah Bera 2023, yang dirasmikan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Dato’ Sabariah Saidan, di sini hari ini. – PAHANGMEDIA

