Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang merancang mengadakan gerakan besar-besaran melibatkan aktiviti kesukanan di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia bagi menjadikan aktiviti kesukanan dalam kehidupan seharian sebagai satu budaya.

“Sedikit mesej saya sebentar tadi kepada mereka yang terlibat supaya membudayakan sukan dalam kehidupan seharian.
“Hari Sukan Negara akan diadakan pada 13 hingga 15 Oktober, pelaksanaan dia serentak bagi peringkat negeri dan daerah-daerah dan kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan untuk menjayakan inisiatif ini sebab kita nak libatkan semua pihak termasuklah pelajar-pelajar di sekolah.
“Dan kita nak buat satu gerakan besar-besaran di peringkat negeri berhubung dengan pembudayaan sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2023 di Pekarangan Stadium Darul Makmur yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tuan Mohd Azhari Mohammad.
Mengulas berkenaan cadangan mengadakan acara sukan secara berkala dan lebih kerap di negeri ini, beliau berkata satu tabung amanah akan dilancarkan berikutan kos yang tinggi diperlukan bagi pelaksanaan program sedemikian.
“Penganjuran program sebegini melibatkan kos. Memang cadangan dan perancangan itu banyak, ada yang sesuai dilaksanakan khususnya penganjuran kerap aktiviti-aktiviti sukan macam Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara cuma ia bergantung kepada bajet kita.

“Dan dalam soal ini di peringkat negeri kita sekarang baru sahaja lulus Tabung Pembangunan Amanah Sukan Pahang yang akan kita gunakan untuk pelaksanaan program-program sebegini.
“Tabung ini baru sahaja diluluskan bertujuan pihak-pihak berkepentingan, swasta, korporat, atau mana-mana individu yang nak menyumbang kepada sukan di Pahang ini dah kalau tak ada masalah kita akan lancarkan tabung ini pertengahan bulan ini,” katanya.
Hampir 15,000 peserta dan pengunjung hadir ke program Fit Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang yang berkonsepkan karnival kecergasan dengan pengisian aktiviti seperti 35 kilometer (km) & 10 km FunRide; 7km FunRun; 3km FunWalk, senamrobik, lompat tali, pameran kecergasan dan kesihatan. -PAHANGMEDIA

