PROJEK KOLAM TAKUNGAN HILIRAN (ORS) KUALA MEDANG CAPAI 60 PERATUS SIAP
Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 2 SEPTEMBER 2023 : Kolam Takungan Hiliran (Off River Storage – ORS) yang dibina di atas tanah seluas lima ekar di Kuala Medang telah mencapai hampir 60 peratus siap dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk daripada lima kampung sekitar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lima kampung itu ialah Kampung Kuala Serau, Kuala Medang, gugusan FELDA Sungai Koyan, POS Pantos serta Agropolitan Tanjung Gahai dan Tanjung Gahai.
Beliau berkata, meskipun projek ini mengalami kelewatan dan telah diberi tempoh masa tambahan (extension of time), namun kemajuan projek dilihat baik dan dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.

“ORS nampak berjalan dengan baik, dulu ketinggalan sebanyak 170 hari (41 peratus), sekarang ini saya dimaklumkan oleh Pengarah JPS tadi telah mencapai lebih 60 peratus dan Insyaa Allah sekiranya ianya berjalan dengan baik, akan siap pada bulan 12 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Kolam Takungan Hiliran (ORS) Kuala Medang di Tapak Projek ORS Kuala Medang di Lipis.
Beliau diiringi isteri, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang, YBrs. Puan Ir. Roslina Yusop dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Projek yang menelan belanja RM11 juta ini sepatutnya telah disiapkan pada 30 November 2022 selepas ianya dimulakan pada 1 Disember 2021 namun mengalami kelewatan ekoran beberapa masalah akibat kelemahan perancangan dan pengurusan projek serta pertukaran sub-kontraktor kerja sivil dan mekanikal / elektrikal.
Justeru, orang ramai diminta supaya dapat bersabar menanti projek ini dapat beroperasi selepas siap sepenuhnya pada Disember nanti.
“Mereka perlu bersabar projek ini ‘matter of time’ dan mereka boleh nampak depan mata bukan kita cakap benda yang tidak buat lagi, hanya ‘matter of time’ untuk projek ini disiapkan,” katanya.
Projek ORS ini merupakan pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memastikan bekalan air bersih dapat disediakan bagi manfaat penduduk setempat selain dapat menampung pertambahan jumlah penduduk dan perkembangan industri serta dapat juga digunakan untuk aktiviti rekreasi dan sukan air kelak. – PAHANGMEDIA

