LOJI RAWATAN AIR SUNGAI KERATONG KEMBALI BEROPERASI SEMALAM

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 01 SEPTEMBER 2023 : Insiden henti tugas operasi Loji Rawatan Air Sungai Keratong (LRASK) akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Keratong telah kembali beroperasi semalam.

Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari, LRASK kembali beroperasi sejurus kerja mencuci selesai.

“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ingin memaklumkan situasi semasa berkenaan insiden henti tugas operasi Loji Rawatan Air Sungai Keratong (LRASK) akibat pencemaran sumber air mentah Sungai Keratong dipercayai berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab sebuah kilang berkaitan di Daerah Rompin.

“PAIP telah segera henti tugas LRASK sejurus pencemaran dikesan kerana sumber air mentah tidak selamat untuk digunakan.

“PAIP memaklumkan LRASK telah kembali operasi bermula jam 12.00 tengah hari pada 31 Ogos 2023 sejurus kerja pencucian selesai dijalankan dan juga pemantauan kualiti air mentah Sungai Keratong mencapai tahap yang dibenarkan dan selamat untuk digunakan,” katanya.

Menurut beliau lagi, proses rawatan dan agihan air sedang dijalankan secara berperingkat sehingga semua pengguna menerima bekalan air terawat seperti sedia kala.

“Setelah LRASK mula operasi, proses-proses rawatan air dan agihan air ke kawasan-kawasan agihan LRASK telah berlaku dan sehingga kini, pemulihan sedang berlaku secara berperingkat sehingga semua pengguna kembali menerima bekalan air terawat seperti sedia kala.

“Pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan-kawasan yang masih terjejas sehingga semua kawasan telah pulih bekalan air sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata pihak PAIP sentiasa memastikan air terawat yang dibekalkan daripada semua Loji Rawatan Air (LRA) adalah selamat untuk digunakan.

“PAIP memastikan air terawat yang dibekalkan daripada semua Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Negeri Pahang adalah selamat untuk digunakan.

“Pemeriksaan kualiti air secara berkala setiap hari dilakukan dan semua pengeluaran air daripada LRA adalah mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“PAIP sentiasa komited memastikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna adalah selamat untuk digunakan,” katanya.

Beliau dalam kenyataan berkenaan turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kerja pemulihan serta kerja penyediaan bekalan alternatif ketika gangguan bekalan air berlaku.

“Penghargaan khusus diberikan kepada semua syarikat operator air negeri-negeri lain, BOMBA dan pihak berkaitan yang telah membantu memberikan perkhidmatan lori tangki bagi tujuan bekalan alternatif ketika gangguan bekalan air.

“Ketibaan operator-operator air negeri lain memberi bantuan di lokasi dalam tempoh 24 jam pemakluman diberikan cukup menandakan semangat kerjasama dan setia kawan di antara syarikat operator air di Malaysia. Segala jasa, bantuan dan pengorbanan semua pihak amat dihargai,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para pengguna yang memberi kerjasama dan sabar dalam menghadapi masalah ini.

“PAIP juga dengan rendah diri dan berbesar hati ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para pengguna yang terjejas atas kerjasama, kesabaran dan sokongan kepada pihak PAIP ketika kita semua berhadapan dengan insiden pencemaran ini.

“PAIP memberi komitmen sewajarnya dan menyerahkan pengurusan selanjutnya hal pencemaran ini kepada penguatkuasa dan agensi berkaitan.

“Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan air boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram