Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor ketika Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Cameron Highlands dan Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Cameran Highlands 2023 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata di sini hari ini.

PTG PAHANG DIMINTA BANTU SELESAI ISU PERSEMPADANAN KAMPUNG ORANG ASLI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Azmaidi Abidin

CAMERON HIGHLANDS, 17 OGOS 2023 : Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang diminta membantu menyelesaikan isu berkaitan persempadanan perkampungan Orang Asli di negeri ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor berkata, pihak PTG perlu bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi perkara ini.

“Saya mohon PTG Negeri Pahang membantu Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk menyelesaikan isu persempadanan perkampungan Orang Asli di negeri Pahang ini sebaik mungkin dan membantu JAKOA untuk ukur halus dan sebagainya dan urusan-urusan berkaitan perwartaan tanah Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Cameron Highlands dan Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Cameran Highlands 2023 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata di sini hari ini.

Beliau berkata, pertimbangan juga perlu diberikan kepada Orang Asli memandangkan tanah masyarakat ini berada di dalam kawasan hutan simpan.

“Kita faham kebanyakkan kampung-kampung Orang Asli ini berada di dalam kawasan hutan simpan, tapi kalau sekadar Orang Asli ini meneroka bagi kegunaan seharian, untuk sara hidup mereka berilah pertimbangan untuk mereka melaksanakan.

“Melainkan ada unsur-unsur pencerobohan yang tidak sihat umpamanya ada orang luar guna nama Orang Asli tapi dalam kawasan hutan simpan yang akan merugikan, ini ambil tindakanlah.

“Tapi kalau digunakan untuk sara hidup mereka, ambil maklum, peruntukan-peruntukan Akta Orang Asli 134 dan Kanun Tanah Negara sebagaimana kita sedia maklum cara hidup mereka,” katanya.

Beliau turut meminta supaya urusan guna tanah oleh masyarakat Orang Asli dipermudahkan memandangkan tanah yang diteroka digunakan bagi menyara kehidupan mereka.

“Permudahkanlah (urusan guna tanah). Teroka (tanah) belakang rumah,ada seekar dua untuk tanam sayur, tanam buah, tak kan nak ambil tindakan kepada mereka. Kesianlah. Dah lah mereka golongan di bawah B40, nak tekan lagi mereka. Itu janganlah saya sarankan.

“Saya harap PTG Negeri Pahang membantu JAKOA untuk melaksanakan pewartaan kawasan-kawasan Orang Asli, tanah-tanah adat mereka, dan ia dapat diselesaikan secara perbincangan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram