Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 OGOS 2023 : Fasa pertama pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dijangka dapat disiapkan pada 22 September ini melibatkan Blok B yang menempatkan Pejabat YAB Menteri Besar Pahang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, tempoh siap keseluruhan pusat pentadbiran berkenaan terbahagi kepada dua fasa dengan jangkaan keseluruhan selesai dibina pada 1 April 2024.

“Alhamdulillah tinjauan kita pada hari ini, status terkini adalah sangat baik dan saya harap prestasi ini dapat dikekalkan sehinggalah keseluruhan projek PPSAS ini dapat disiapkan pada 1 April 2024.
“Manakala bagi Blok B pula dianggarkan siap pada 22 September nanti. Dan kehadiran kita semua pada hari ini adalah untuk melihat jadual sebagaimana yang telah di buat oleh pihak kontraktor dapat disiapkan pada masanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjuan perkembangan pembinaan PPSAS oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang di PPSAS hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kemajuan pembinaan pusat pentadbiran ini adalah baik dan tahap kemajuannya dipantau melalui mesyuarat penyelarasan yang diadakan setiap minggu.
“Kita meninjau serta memastikan projek atau mesyuarat penyelarasan dapat diadakan seminggu sekali untuk kita melihat supaya jadual yang dibuat itu dapat dilaksanakan dengan tepat pada masanya,” katanya.
Bangunan Blok B yang menempatkan Pejabat YAB Menteri Besar dan Blok G yang menempatkan pondok pengawal merupakan fasa pertama yang dijangka siap pada 22 September ini.
Manakala lima blok lagi menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang, Pejabat Persekutuan, dijangka siap pada 1 April 2024. – PAHANGMEDIA