Oleh: Ain Nadhirah Basha & Nur Farahin Rosli
CAMERON HIGHLAND, 17 OGOS 2023 : “Sudah setahun saya dan keluarga terpaksa menumpang rumah jiran dan rakan-rakan yang lain kerana rumah saya telah rosak dan runtuh,” kongsi penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP), Puan Amy Bahmat, 31.
Puan Amy yang juga Orang Asli dari Kampung Sungai Ubi berkata bantuan ini amat membantu dirinya sekeluarga kerana mereka tidak mempunyai rumah sendiri.

“Saya amat bersyukur mendapat rumah percuma di Kampung Sungai Ubi ini. Saya dan keluarga tidak perlu lagi menumpang rumah orang. Terima kasih yang tak terhingga kepada Kerajaan Pahang,” tambahnya lagi.
Seorang lagi penerima RRP, Puan Asmar Diyana Alias, 38, dari Kampung Taman Sedia di sini berkata dia tidak pernah terfikir untuk mendapat bantuan sebegini.

“Nak kumpul modal untuk bina rumah sendiri memang susah, perlukan puluhan ribu. Saya amat bersyukur menjadi salah seorang penerima rumah RRP ini, saya boleh bawa ibu bapa saya yang uzur dan ahli keluarga lain untuk duduk sekali.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana memilih saya untuk menjadi salah seorang penerima program RRP ini,” ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang pekerja kedai makan, Cik Siti Nurhanna Farha Bohari, 21, bantuan rumah percuma di Desa Anggerik yang diterimanya dapat mengurangkan beban kewangan dirinya sekeluarga.

“Saya amat bersyukur dan lega dapat bantuan rumah kerana sebelum ini memang terpaksa menyewa rumah di merata-rata tempat. Apabila dapat rumah RRP, amat membantu dalam meringankan beban saya sekeluarga memandangkan bapa saya baru sahaja meninggal dunia.
“Kami sekeluarga amat bersyukur dan terharu di atas sumbangan dan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang. Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan semua pihak yang terlibat dari mula hingga akhir projek pembinaan rumah ini,” katanya.
Seramai tujuh orang penerima menerima bantuan rumah RRP di Parlimen Cameron Highlands untuk fasa ketiga Rumah Rakyat Pahang yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Ramli Mohd Nor.
Beliau dalam majlis sama turut merasmikan Karnival Tanah Pahang Peringkat Cameron Highlands dan Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands 2023 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata. -PAHANGMEDIA