Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 14 JUN 2023 : Premis persendirian seperti rumah atau maahad tahfiz dibenar melaksanakan penyembelihan ternakan korban namun proses berkenaan termaktub kepada syarat yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ia boleh dilaksanakan mengikut Prosedur Pelaksanaan Penyembelihan Luar Ibadah Korban Negeri Pahang yang disediakan.

“Prosedur berkenaan adalah untuk memastikan aktiviti penyembelihan ternakan korban dilaksana dengan teratur, bersih, dan mengambil kira aspek status penyakit ternakan, kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.
“Sehingga 13 Jun 2023, kemasukan ternakan bagi aktiviti penyembelihan yang telah direkodkan bermula Mei 2023 adalah 756 ekor ternakan (lembu 560 ekor, kerbau 83 ekor, kambing/bebiri 113 ekor). Kita jangka pertambahan pengeluaran permit pergerakan berlaku dalam tempoh dua minggu menjelang hari raya korban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau beliau berkata antara syarat yang ditetapkan bagi penyembelihan di premis persendirian ialah sumber bekalan ternakan adalah daripada pembekal atau trader tempatan iaitu di dalam negeri Pahang sendiri selain mengikuti SOP proses sembelihan yang ditetapkan.
“Pemantauan pelaksanaan sembelihan adalah di bawah kawalan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah dan pengendali tempat sembelih perlu berpengalaman dalam pengendalian setiap aspek proses berkaitan.

Rujukan Prosedur Perlaksanaan Penyembelihan Luar Ibadah Korban Negeri Pahang, Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban dan APTVM Kebenaran Sembelih.
“Mereka juga perlu mengemukakan borang untuk permohonan Tempat Persendirian di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berkenaan selain pengurusan sisa sembelihan hendaklah mengikut prosedur yang telah ditetapkan (Rujuk Senarai Semak Rumah Sembelih Dibenarkan Sementara),” katanya.
Sementara itu beliau turut menyenaraikan premis-premis dibenarkan beroperasi untuk penyembelihan ternakan korban iaitu di Rumah Sembelih Dibenarkan Sementara (RSDS), tanah lapang awam seperti di padang awam, balai raya, premis-premis kerajaan serta masjid dan surau. – PAHANGMEDIA