Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 14 JUN 2023 : “Ziarah seperti ini menyenangkan hati kami (bekas ADUN) yang telah bersara ini,” kongsi YH. Dato’ Biaw Nga @ Liaw Per Lou.
YH. Dato’ Biaw Nga yang sebelum ini merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras dari tahun 1990 sehingga 1999 berkata, Program Ziarah Kasih ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama bekas ADUN dan Kerajaan Negeri.
“Hari ini saya mendapat kunjungan daripada Dato’ Sri Sharkar iaitu Speaker Dewan Negeri Pahang ke rumah kami. Kami sangat berterima kasih dan syabas kerana ini satu perkara yang amat menyenangkan hati orang-orang yang sudah bersara.

“Haraplah (ziarah kasih ini) dapat menyambung silaturahim sepanjang umur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Lee Man di sini hari ini.
Beliau juga turut melahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin dengan keadaan bekas ADUN di negeri ini.
Sementara itu, menurut bekas ADUN Batu Talam, YH. Dato’ Syed Ali Syed Mohammad berkata, ziarah kasih ini membuktikan Kerajaan Negeri masih mengambil berat bekas ADUN yang pernah menabur bakti di negeri ini.
“Program seumpama ini boleh digiatkan lagi di mana bekas-bekas wakil rakyat ini yang sekarang masing-masing cuma buat hal masing-masing, rugi sangat. Kita boleh gunakan balik tenaga mereka kerana pengaruh mereka masih kuat, jadi kumpulkan balik semua untuk buat program.
“Jadi saya amat menghargailah saranan yang dibuat oleh YAB Menteri Besar bersama Dato’ Sri Sharkar untuk menggiatkan semula kegiatan kepada bekas ADUN ini,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Simpang Kallang di sini.
Kerajaan Negeri melalui Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin telah melaksanakan program ziarah kasih bekas ADUN di seluruh Pahang dengan Kuantan menjadi daerah pertama bulan lepas. -PAHANGMEDIA