Simbolik Pelancaran BPP OKU telah dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di Wisma Sri Pahang di Kuantan

RM1.82 JUTA BANTUAN PRIHATIN PAHANG (BPP) UNTUK OKU

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 JUN 2023 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.82 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan kira-kira 36,000 orang golongan berkenaan.

Simbolik Pelancaran BPP OKU ini telah dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan yang ditemui berkata, bantuan berkenaan akan mula diberikan pada bulan ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan

“Empat kategori penerima OKU ialah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, Elaun Pekerja OKU serta Pelajar Pendidikan Khas.

“Pembayaran secara tunai akan diberikan kepada OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Pelajar Pendidikan Khas manakala bayaran secara atas talian akan dilakukan bagi dua lagi kategori yang disenaraikan,” katanya.

Dalam pada itu YB. Dato’ Sabariah menjelaskan bahawa semua bayaran akan diselesaikan pada bulan ini dan ia diharapkan sedikit sebanyak meringankan beban semua penerima terlibat.

“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana prihatin terhadap pelbagai golongan termasuk OKU yang turut memanfaat hasil kemajuan dan kestabilan ekonomi negeri ini.

“Jika dilihat, bukan bantuan ini sahaja tetapi banyak lagi bantuan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang malah peningkatan jumlah bantuan yang diumumkan setiap tahun membuktikan keprihatinan yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, hal sama di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana ada pertambahan permohonan daripada rakyat di negeri ini dan kita bagi perhatian kepada semua pemohon dan jumlahnya diselaraskan dengan peringkat pusat. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram