Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 MEI 2023 : Sebanyak 171 Kampung daripada 331 Kampung Orang Asli (KOA) telah disenaraikan di bawah projek infrastruktur komunikasi yang sedang dijalankan manakala 160 lagi KOA akan dimasukkan dalam perancangan projek akan datang.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, baki KOA yang tidak termasuk dalam perancangan awal dan mengalami masalah perkhidmatan internet akan diambilkira dalam perancangan projek JENDELA yang dijangka bermula pada suku pertama 2023.
“Kita (Kerajaan Negeri) sangat menitikberat tentang pembangunan perkampungan masyarakat Orang Asli ini dari setiap sudut tetapi maklumlah kampung mereka ini sebahagiannya terlalu jauh ke dalam dan sukar untuk sampai ke tempat-tempat itu dan mengambil masa yang lama serta halangan yang begitu banyak sekali.
“Namun demikian Kerajaan Negeri melalui agensi-agensinya sama ada JAKOA, SKMM dan sebagainya kita bertungkus lumus memastikan usaha memajukan kampung-kampung Orang Asli ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Encik Ho Chi Yang pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Jelasnya, sehingga kini terdapat sebanyak 11 menara komunikasi telah siap beroperasi di sepanjang laluan Jalan Lembah Bertam – Sungai Koyan sejak 2019 perkhidmatan 2G dan 4G telah tersedia.
Manakala sebanyak tujuh lagi menara baharu akan dibina di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital (JENDELA) bagi menambahbaik perkhidmatan telekomunikasi di laluan tersebut. – PAHANGMEDIA