Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 MEI 2023 : Sebanyak 25 projek PR1MA dan Program Perumahan Rakyat (PPR) menjadi tumpuan bagi Kerajaan Pahang membabitkan sebanyak 3,355 buah rumah bagi PR1MA dan 400 buah rumah PPR.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, usaha ini dilaksanakan bertujuan memastikan kerajaan dapat menyediakan rumah-rumah mampu milik bagi membuka peluang pemilikan rumah kepada rakyat khususnya rakyat Pahang.
“Melalui statistik yang dikeluarkan, PR1MA dan Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah merupakan projek tumpuan bagi Kerajaan Negeri Pahang sebagai agenda utama perumahan di Negeri Pahang untuk memastikan masyarakat dan orang ramai di Pahang dapat mendapatkan rumah mampu milik.
“Daerah Kuantan merupakan daerah terbanyak dibangunkan skim-skim perumahan rakyat di Negeri Pahang dengan jumlah sebanyak sembilan projek PR1MA dan dua buah projek Perumahan PPR melibatkan sejumlah 1,996 buah rumah, yang mana Daerah Bentong terdapat dua projek PR1MA melibatkan 94 buah rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Encik V Arumugam A Veerappa Pilai pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sistem e-Perumahan Negeri Pahang yang dibangunkan bersama oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Bahagian Perumahan Pejabat SUK Pahang dapat mempermudah urusan permohonan dan pemilihan pembeli-pembeli yang layak untuk pengisian rumah-rumah di bawah skim-skim perumahan kerajaan selain membolehkan pemohon mengemaskini permohonan dari semasa ke semasa.
Sistem e-Perumahan akan ditambah baik bagi memberikan perkhidmatan yang lebih efisien selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan keperluan rakyat. – PAHANGMEDIA