Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan memeriksa barisan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG ZAHIR RASA BANGGA PRESTASI PELABURAN PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 8 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian hasil yang dicatat Kerajaan Negeri Pahang.

Baginda berharap agar Kerajaan Negeri terus memperkukuh iltizam untuk melipatgandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi sebagaimana sasaran yang telah ditetapkan.

“Saya berbangga dengan pencapaian kerajaan sehingga Disember tahun lalu di mana sebanyak tujuh buah projek pelaburan antarabangsa dari negara Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan telah berjaya dimuktamadkan dengan jumlah nilai pelaburan lebih kurang RM11 bilion.

“Saya berharap agar setiap pelaburan yang dilakukan dipantau dengan baik agar rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal tercipta melalui pelaburan yang dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan agar kesemua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di negeri ini serta mesti seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih atau net zero emissions.

“Saya tidak mahu kita membelakangkan kepentingan alam sekitar dalam usaha mengejar kemajuan negara dan negeri. Saya tidak mahu menang bersorak kampung tergadai, lebih-lebih Pahang merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam yang paling bernilai.

“Sumber asli yang kita ada sekarang ini tak akan bertahan lama jika tidak ada pengurusan dan perancangan yang tersusun kerana setakat ini sumber yang ada hanya mampu bertahan selama 150 tahun. Saya mahu ia bertahan lebih daripada 300 tahun atau lebih lama daripada itu,” tegas baginda.

Baginda dalam titahnya berharap agar satu strategi dirangka bagi mengalih sumber ekonomi tradisional seperti hasil tanah mineral dan balak sekarang kepada sumber ekonomi alternatif yang lain.

“Kita perlu bersatu dan fokus Pahang sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia yang bukan sahaja akan terus berdikari malah boleh menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara serta penyumbang utama kepada net zero emissions negara.

“Justeru, saya mahu kerajaan negeri terus mengamalkan pembangunan lestari berdasarkan konsep Environmental Social and Governance (ESG) dalam setiap projek bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram