Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

JAWATAN MESTI DIPIKUL SEIRING DENGAN AMANAH

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 8 MEI 2023 : Pelantikan seseorang individu bagi sesuatu jawatan merupakan satu amanah untuk memberi berkhidmat, berbakti dan memelihara nasib rakyat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia bukanlah tiket untuk bermegah-megah dan menunjukkan kuasa malah tugas yang dipikul harus dilaksanakan dengan penuh ikhlas, jujur dan berintegriti.

“Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sekali lagi telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang serta ahli-ahli Yang Berhormat sekalian yang telah dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Suka saya ingatkan bahawa pelantikan ini satu amanah untuk berkhidmat berbakti dan memelihara nasib rakyat saya.
Saya berharap pentadbiran baharu kerajaan negeri ini dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan untuk membangunkan ekonomi dan fizikal serta meningkatkan pendapatan negeri demi kemakmuran rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam titah sama baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin dan YB Encik Lee Chin Chen yang dilantik sebagai YB Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob yang dilantik sebagai YB Setiausaha Kerajaan Pahang dengan harapan agar beliau dapat melaksanakan tugas dengan penuh komitmen bagi memastikan negeri Pahang dapat diurus secara proaktif.

“Tidak lupa juga saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak yang telah banyak menabur khidmat bakti kepada pembangunan negeri ini,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram