Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

PAHANG ANTARA NEGERI TERKEDEPAN LINDUNG SPESIES HARIMAU MALAYA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 8 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas pewartaan Hutan Simpan Gunung Aais dan Hutan Simpan Gunung Aais tambahan sebagai Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.

KDYMM Pemangku Raja Pahang bertitah, rizab ini merupakan yang pertama di Malaysia dan usaha ini harus diberikan pujian kerana Pahang paling terkedepan dalam usaha melindungi spesies yang semakin terancam ini.

“Gunung-ganang, tasik dan hutan dara adalah khazanah Pahang yang tiada terhingga nilainya. Habitat harimau mesti dijaga, kelestarian hutan akan terpelihara.

“Saya yakin dan percaya bahawa kelestarian alam sekitar mampu menjamin kesejahteraan kehidupan, kemampanan sumber asli, kestabilan politik dan kerajaan yang memerintah serta kelangsungan pembangunan negara yang seimbang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang juga menggesa agar penguatkuasaan di negeri ini diperketatkan dan bertindak agresif terhadap pencuri khazanah negeri ini.

“Kerap kali saya menerima laporan terhadap aktiviti penguatkuasaan seperti pencerobohan tanah kecurian hasil tanah dan mineral serta penerokaan hutan simpan secara tidak sah.

“Saya mahu semua agensi penguatkuasaan bertindak tegas dan berani, jalankan tugas dengan profesional tanpa mengira latar belakang pesalah. Kerajaan Negeri pula perlu cari jalan supaya aktiviti penguatkuasaan dapat dipertingkatkan lagi termasuk menyediakan bajet yang bersesuaian agar mereka dapat jalankan tugas dengan sempurna,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram