Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 APRIL 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menerima Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Tahap) hampir RM28 juta daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata jumlah pemberian ini meningkat sebanyak RM5 juta pada tahun ini berbanding tahun lepas.
“Menerusi mesyuarat Majlis Kewangan Negera yang diadakan pada pagi tadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Perdana Menteri dan juga Kerajaan Persekutuan kerana telah menaikkan Pemberian Tahap atau Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup daripada RM330 juta kepada RM400 juta di seluruh negara.
“Pemberian Tahap ini kita terima kenaikan RM5 juta pada tahun ini di mana pada tahun lalu 2022, Kementerian Kewangan beri kita hampir RM23 juta dan pada tahun ini 2023 kita terima lebih kurang RM28 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.
Turut hadir, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim; YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah menaikkan jumlah peruntukan kos pembaikan Jalan Persekutuan kepada RM1 bilion berbanding RM700 juta.
“Antara isu utama yang dihadapi adalah kerosakan dan kesesakan di jalan-jalan utama di negeri ini. Ini kerana muktahir ini kerosakan jalan raya selepas musim tengkujuh yang lalu boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya. Sebahagian besar kerosakan jalan raya dan keadaan jalan raya yang uzur ini berlaku di Jalan Persekutuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri kerana telah bersetuju untuk menaikan peruntukan daripada RM700 juta kepada RM1 bilion bagi menampung kos pembaikan di Jalan Persekutuan.
“Saya berharap menerusi penambahan ini, lebih banyak Jalan Persekutuan terutamanya di Negeri Pahang dapat dibaik pulih serta memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang turut mengucapkan penghargaan di atas kelulusan Projek Pembangunan (DE) Bagi Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Dato’ Sri di atas kelulusan Senarai Program atau Projek Pembangunan (DE) Bagi Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Untuk makluman, sebanyak 511 projek telah diluluskan pada tahun ini kepada Kerajaan Negeri dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM29.586 billion berbanding pada tahun 2022 sebanyak 400 projek dengan peruntukan sebanyak RM27.461 bilion,” katanya.
Seramai 800 penjawat awam telah menghadiri Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang berlangsung selama hampir 3 jam ini. -PAHANGMEDIA