Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 APRIL 2023 : Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk kepada kakitangan dan orang awam yang telah disampaikan sendiri oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal.
Kerja gotong-royong yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Makmur itu telah dimulakan seawal jam 8 pagi membabitkan semua kakitangan MSP dan PSDM.
Menurut YB. Encik Fadzli, sambutan daripada semua kakitangan amat menggalakkan terutama di bulan Ramadan bagi mengeratkan silaturrahim antara kakitangan MSP dan PSDM.
“Kerjasama di kalangan kakitangan yang terlibat amat menggalakkan dan insyaa Allah program seumpama ini akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Moh Masak Bubur Lambuk MSP dan PSDM di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, tengahari tadi.
Di lokasi sama, beliau turut berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Perbincangan Projek Menara Telekomunikasi JENDELA Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM).
Mesyuarat itu turut membincangkan pergerakan kerja penyelarasan bagi projek terbabit agar dapat disiapkan mengikut jadual dengan membabitkan beberapa agensi berkaitan antaranya Pahang Corp, Koridor Utiliti Pahang (KUP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri Pahang.
Jelasnya, perbincangan tersebut memberi fokus terhadap persetujuan proses-proses kerja melibatkan tanah hutan simpan membabitkan JPNP bagi pembinaan menara telekomunikasi agar dapat disegerakan kelulusan. – PAHANGMEDIA