Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 APRIL 2023 : Sebanyak RM2.841 juta diberikan kepada 336 peserta E-Kasih Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) melibatkan sembilan daerah di negeri ini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bayaran dividen yang diagihkan ini adalah bagi tahun 2020 dan 2021.
“Setiap peserta akan menerima RM8,458 seorang dengan melibatkan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM 2.841 juta.

“Manakala Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) juga turut menerima bayaran dividen pada hari ini berjumlah RM5.722 juta.
“Malah, sepanjang tempoh projek ini berjalan iaitu sejak 2004 sehingga kini, setiap peserta telah menerima bayaran dividen berjumlah RM23,415 seorang atau secara keseluruhannya berjumlah RM7.867 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembayaran Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong Kepada Peserta E-Kasih Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail Paya Besar.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH Dato’ Razihan Adzharuddin; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri telah memberi tanah kepada pihak PSK pada 2004 sebanyak 1,600 hektar bagi dibangunkan oleh pihak PASFA.
“Dan Alhamdulillah PASFA mampu melaksana dan membangunkan dan menjaga tanah tersebut dengan membangunkan ladang-ladang sawit dan boleh memberi pulangan kepada para peserta.
“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri dari dulu sehingga sekarang ini kita sentiasa memikirkan cara bagaimana untuk membantu rakyat seperti mana hari ini.
“Kalau Kerajaan Negeri tidak bagi tanah pada 2004 hari ini peserta-peserta seramai 336 orang ini tidak mungkin akan mendapat dividen sebanyak RM8,458,” katanya.
Menurut beliau lagi, dividen yang diterima para peserta ini juga diharap dapat meringankan beban kewangan para peserta.
“Dan ini adalah satu jumlah yang besar dan bukan sahaja meringankan bebanan kewangan mereka tapi saya percaya mereka boleh merancang untuk membuat apa jua program untuk keluarga dan diri mereka,.
“(Ini kerana kita percaya dengan bantuan ini kita boleh meringankan dan boleh menceriakan lagi mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA