Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 12 APRIL 2023: Kerajaan Pahang hampir pasti membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei depan selepas satu taklimat diadakan hari ini.
YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, taklimat berkenaan secara dasarnya telah menerima persetujuan dari kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Negeri mahupun pembangkang.
“Pada taklimat yang disampaikan oleh pihak Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang hari ini, kita lihat semua berpuas hati.
Ada sedikit sebanyak perkara yang kita perlu harmonikan dan perhalusi sebagai perlindungan pada jangka masa panjang.
“Jika mendapat sokongan, RUU mesti sampai ke pejabat DUN sebelum 22 April ini. Jadi taklimat ini juga merupakan satu cara untuk kita dapatkan sokongan dua pertiga untuk menyokong RUU yang melibatkan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya selepas taklimat Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Anti Lompat Parti) di bilik mesyuarat UTC, hari ini.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, YB Encik Lee Chin Chen.
Sementara itu, beliau berkata,perbezaan RUU negeri Pahang dengan tujuh negeri lain ialah mengenai lima orang ADUN lantikan yang mempunyai kuasa untuk mengundi dalam Dewan Negeri.
“Itu antara perkara yang kita perhalusi manakala 95 peratus lagi boleh dikatakan sama dengan pindaan yang dibincangkan dan diluluskan di peringkat Persekutuan.
“Kita berbincang dengan baik dan akan perhalusi semua perkara yang perlu. Kita tidak terburu-buru untuk menentukan RUU ini perlu diselesaikan sepenuhnya pada Sidang DUN akan datang sahaja,” katanya.
Katanya lagi, RUU ini penting bagi memastikan tiada ahli politik yang lompat parti bagi kepentingan diri selain menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin yang telah dipilih. -PAHANGMEDIA