Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Darul Makmur, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal pada Majlis Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) Geran Industri antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Perbadanan Stadium Darul Makmur di Hotel Zenith, semalam.

KOLABORASI UMP DAN PERBADANAN STADIUM DARUL MAKMUR CATIT PERJALANAN 50 TAHUN SDM

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 11 APRIL 2023 : Usaha menghasilkan sebuah buku yang menyimpan fakta sejarah serta kenangan sepanjang 50 tahun kewujudan Perbadanan Stadium Darul Makmur bakal terlaksana dengan perjanjian yang ditandatangani antara Universiti Malaysia Pahang dan Perbadanan Stadium Darul Makmur, semalam.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Darul Makmur, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, kolaborasi menghasilkan buku ‘Memoir Lima Dekad: Perbadanan Stadium Darul Makmur, 1973-2023’ bersempena sambutan ulang tahun Perbadanan Stadium Darul Makmur ke-50 tahun pada bulan September nanti.

“Buku ini mengisahkan sejarah panjang stadium yang menjadi simbol ikonik bagi negeri Pahang. Kerja-kerja awal telah dilakukan dan bahan-bahan telah dikumpulkan, kita tak toleh ke belakang lagi dan yakin buku ini dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Saya yakin pemeteraian MoA antara pihak pelaksana dan pihak berkepakaran dalam bidang penyelidikan akan memastikan buku ini dapat diterbitkan dengan pengisian yang sarat dengan fakta-fakta sekaligus memenuhi maksud utama penerbitan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) Geran Industri antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Perbadanan Stadium Darul Makmur di Hotel Zenith, semalam.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Kamal Zuhaili Zamli serta Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur Pahang, Encik Izad Zainal Muhammad Safian.

Sementara itu, YB. Encik Fadzli turut menyentuh berkenaan usaha penambaikan infrastruktur yang sedang dilakukan Perbadanan Stadium Darul Makmur dalam usaha untuk menaiktaraf Stadium Darul Makmur seperti mengecat bangunan stadium, pemasangan tempat duduk penonton, menaik taraf fasiliti-fasiliti di stadium serta inisiatif lain yang ada di dalam perancangan Perbadanan Stadium Darul Makmur.

“Memang ada kekangan peruntukan namun usaha tetap dilakukan termasuk baikpulih dewan, bilik dan ruang pejabat. Cuma cabaran besar sekarang ialah keperluan lampu limpah yang mencecah kos lebih RM3 juta. Jadi saya harap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu kita menyediakan kemudahan lampu limpah bagi pencahayaan terbaik stadium untuk digunakan pada waktu malam.

“Bagi menyediakan wajah baru, saya juga telah minta bangunan stadium ini dicat semula selain usaha menghidupkan suasana dan persekitaran stadium dengan penganjuran pelbagai aktiviti di dalam dan luar stadium,” katanya.

Beliau turut berharap agar segala penambaikan kepada stadium dapat dilaksanakan mengikut jadual supaya idea menaik taraf stadium untuk memberi lembaran baharu dan nafas yang lebih segar dapat berjalan lancar. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram